Dua penjawat awam direman bantu siasatan penyelewengan hampir RM300,000

Adie Sufian Zulkefli
September 12, 2023 16:41 MYT
Penahanan kedua-dua individu berusia 44 tahun dan berasal dari Perlis itu dilakukan hasil aduan berkaitan kegiatan mereka. - Foto Astro AWANI
KANGAR: Mahkamah Majistret Perlis hari ini membenarkan reman selama tiga hari terhadap dua kakitangan Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis yang berpangkat penolong akauntan dan penolong pegawai teknologi maklumat, bagi membantu siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan berjumlah RM297,734.64.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Suspek dipercayai menyalahgunakan kuasa sebagai pelulus dalam Sistem Perakaunan Akaun Kerajaan Negeri (iSPEKS) bagi melakukan transaksi berkenaan ke akaun bank milik ibu mentua dan rakan mereka pada 2018 serta 2019.
Penahanan kedua-dua individu berusia 44 tahun dan berasal dari Perlis itu dilakukan hasil aduan berkaitan kegiatan mereka.
Wang yang dipercayai diseleweng itu sepatutnya dibayar kepada syarikat pembekal yang dilantik oleh jabatan di bawah Kerajaan Negeri Perlis.
Bagaimanapun, ia dipercayai diseleweng menerusi 51 transaksi ke akaun milik ibu mentua suspek pertama yang dilakukan secara dalaman bermula Mac 2018 sehingga Jun 2019.
Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Perlis Suzeliyana Hashim mengesahkan penahanan berkenaan.
Terdahulu, kedua-dua individu terbabit ditangkap di pejabat SPRM Perlis di Kangar jam 4 dan 5 petang Isnin, selepas dibawa dari pejabat mereka untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
#penjawat awam direman #seleweng wang #Mahkamah Majistret Perlis #Rasuah #SPRM
;