Dua penjawat awam didakwa kemuka butir matan palsu
Bernama
Mac 17, 2022 14:12 MYT
Mac 17, 2022 14:12 MYT
JOHOR BAHRU: Dua penjawat awam di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu untuk tuntutan kursus tidak dilaksanakan berjumlah RM7,200, enam tahun lepas.
Azarudin Asrap, 43, dan Hafizah Ab Talib, 44, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Hafizah, yang ketika itu penolong pegawai tadbir di institut berkenaan, didakwa memperdayakan ILP Tangkak, dengan menggunakan kertas kerja Bengkel Pemantapan Modal Insan ILP Tangkak tahun 2016 dan sebut harga Perkhidmatan Kursus Pengurusan Organisasi Efektif dengan butir matan palsu untuk menuntut bayaran atas nama Jati Selatan Services and Trading berjumlah RM7,200, sedangkan perkhidmatan kursus itu tidak dilaksana, pada November sehingga Disember 2016.
Hafizah, yang kini bertugas di Kementerian Pertahanan, didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.
Sementara itu, Azarudin yang bekerja sebagai penolong pegawai latihan vokasional, dituduh bersubahat dengan Hafizah, menggunakan kertas kerja bengkel dan sebut harga kursus dengan butir matan palsu yang sama untuk menuntut bayaran atas nama Jati Selatan Services and Trading berjumlah RM7,200, sedangkan perkhidmatan kursus tersebut tidak dilaksana, pada November sehingga Disember 2016.
Justeru, Azarudin melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 Akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua tertuduh masing-masing boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu, jika butir matan palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa SPRM Ikhwan Ihsan Jalaludin memohon mahkamah agar menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam MJ Pereira yang mewakili Hafizah, memohon mahkamah mempertimbang mengurangkan wang jaminan memandangkan tertuduh mempunyai lima anak berusia 4 hingga 17 tahun.
Sementara Azarudin yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon wang jaminan dikurangkan kerana dia mempunyai tiga anak berusia antara tiga dan sembilan tahun.
Hakim menetapkan wang jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Kes itu akan disebut semula pada 19 April ini untuk serahan dokumen dan memberi ruang kepada Azarudin melantik peguam.
-- BERNAMA