Dua pengunjung hotel nyaris lemas terperangkap di parkir bawah tanah
Sinar Harian
Disember 18, 2021 23:41 MYT
Disember 18, 2021 23:41 MYT
SHAH ALAM : Dua pengunjung sebuah hotel di Seksyen 13 di sini nyaris lemas selepas terperangkap di bahagian parkir bawah tanah bangunan berkenaan ketika cuba mengalihkan kenderaan milik mereka yang ditenggelami air.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, orang awam yang terlihat mangsa terperangkap dalam ruang berkenaan bertindak menahan jentera bomba yang melalui kawasan berkenaan untuk meminta pertolongan.
Menurutnya, seramai lapan orang anggota berlainan pangkat kemudian bergegas ke ruang parkir kejadian dan tiba di sana pada jam 3.31 petang.
"Setibanya dia lokasi, pihak bomba mendapati terdapat dua orang lelaki berusia 30-an berada di ruang bawah tanah bangunan (basement) untuk mengalihkan kenderaan yang sedang ditenggelami air.
"Anggota bertindak mengeluarkan mangsa sebelum paras air naik, ketika itu mangsa juga sedang cuba menyelamatkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian: Dua pengunjung hotel nyaris lemas terperangkap di parkir bawah tanah