Dua penghidap kanser tamatkan Kayuhan Kemerdekaan sejauh 140km

Bernama
September 9, 2018 13:57 MYT
Pengarah Program Kayuhan Kemerdekaan 2018 Saiful Adly Abd Wahab bersama isteri Norazlina Esa yang mengidap kanser limfoma sejurus tiba selepas melakukan kayuhan dari Gemencheh, Negeri Sembilan ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia. - Bernama
Program Kayuhan Kemerdekaan 2018 mencipta sejarah tersendiri apabila dua penghidap kanser dalam kumpulan 61 peserta berjaya menamatkan kayuhan sejauh 140 kilometer (km) dari Gemencheh, Negeri Sembilan ke Putrajaya.
Bagi Norazlina Esa, 39, dan Zuraidi Mohsin, 47, semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara adalah segalanya dan penyakit yang dihadapi bukan halangan untuk sama-sama menzahirkan perasaan cintakan tanah air.
Mereka bersama peserta lain dan juga 30 pengayuh simpanan diraikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith sejurus menamatkan kayuhan di perkarangan kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita, Norazlina berkata kayuhan itu cukup bermakna bagi menterjemahkan semangat cintakan negara walaupun terpaksa dilakukan dalam keadaan kesihatan yang tidak begitu baik.
Ibu kepada tiga orang anak yang didiagnosis mempunyai kanser limfoma dua minggu lepas itu berkata beliau percaya aktiviti kayuhan mampu menguatkan fizikal badannya dalam berdepan ujian tersebut.
"Penglibatan saya juga bertujuan memberi dorongan kepada pesakit kanser agar tidak berputus asa dan tidak mengabaikan aktiviti bersukan kerana mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi.
"Walaupun keadaan fizikal tidak begitu stabil sepanjang kayuhan tetapi atas tekad zahirkan kecintaan pada negara, saya berjaya harungi kepayahan untuk tiba di Putrajaya," katanya.
Norazlina berkata beliau bertuah kerana suaminya Saiful Adly Abd Wahab yang juga pengarah program kayuhan itu sentiasa memberi kata semangat untuk terus berkayuh yang kini menjadi 'terapi' kepada penyakit yang dihadapi.
Bagi Zuraidi, penyertaan beliau adalah untuk membuktikan pesakit kanser mampu terlibat sama dalam program kecergasan dan kenegaraan khususnya kayuhan basikal.
Beliau berkata aktiviti kayuhan basikal yang dijadikan rutin harian sejak beberapa tahun lalu juga merupakan satu motivasi buat dirinya dalam berdepan penyakit kanser usus yang dihadapinya sejak 2016.
"Dua tahun lepas kanser ini disahkan berada di tahap empat tetapi saya tidak anggap ia sebagai garis penamat dalam kehidupan dan Alhamdulillah dengan mengamalkan kayuhan sejauh 40km setiap hari, selain mengambil ubat-ubatan ditetapkan dan menjalani rawatan kimoterapi doktor mengesahkan saya kini pulih daripada penyakit ini," katanya.
Sementara itu, Eddin Syazlee dalam ucapan penghargaannya menzahirkan kekaguman atas semangat dua peserta itu, satu sikap tidak berputusa asa yang perlu dicontohi oleh semua.
Beliau berkata walaupun berdepan penyakit yang berat untuk dilalui, kedua-dua peserta itu tetap tabah dan bersemangat dalam menzahirkan semangat cintakan negara melalui penglibatan mereka dalam program kayuhan tersebut.
Di pihak kerajaan, saya lihat ia isyarat daripada rakyat yang mereka cintakan negara yang mahu barisan pentadbir memberikan perkhidmatan terbaik untuk memacu Malaysia ke arah masa depan lebih gemilang, katanya.
-- BERNAMA
#kayuhan kemerdekaan #norazlina esa #patriotisme #penghidap kanser #zuraidi mohsin