Dua penghantar surat didakwa cederakan pengurus pentas Astro AWANI

Shuhami Zabri
Disember 29, 2015 06:24 MYT
Tertuduh M. Tinesh (dua dari kiri) dan M. Avrendran (tiga dari kiri) didakwa kerana merusuh menggunakan senjata berbahaya untuk mencederakan Mohd Hawari Zakaria, 33. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta hari ini atas tuduhan mencederakan seorang pengurus pentas Astro AWANI, dua minggu lalu.
M. Tinesh dan M. Arvendran yang bekerja sebagai penghantar surat didakwa kerana merusuh menggunakan senjata berbahaya untuk mencederakan Mohd Hawari Zakaria, 33.
Kedua-duanya yang berumur 20 tahun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
BACA: Petugas Astro AWANI parah ditikam
BACA: Kes tikam kakitangan Astro AWANI: Suspek direman sehingga 28 Disember
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
19 Januari tahun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam kejadian pada jam 11.30 malam, 18 Disember lalu, Mohd Hawari ditikam di perut selepas berlaku pertengkaran di antara mangsa dengan tujuh individu di kediamannya di Platinum Kondominium, Jalan Usahawan Dua, Wangsa Maju.
#Ahmad Hawari #M. Arvendran #M. Tinesh #tikam