Dua pengarah syarikat didenda miliki kelengkapan komunikasi tidak diperkaui
Bernama
Jun 18, 2024 11:30 MYT
Jun 18, 2024 11:30 MYT
PUTRAJAYA: Dua pengarah syarikat didenda oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini, atas pertuduhan memiliki dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi tidak diperakui iaitu walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan wireless adapter pelbagai jenama.
Kedua-dua individu itu masing-masing didenda RM5,500 dan RM2,500 selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Orang Kena Saman (OKS) pertama, seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual lima unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S dan enam unit wireless adapter pelbagai jenama di Lintas Plaza pada 11 Okt 2023.
OKS kedua pula seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun didakwa atas satu pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana memiliki dengan tujuan untuk menjual dua unit walkie-talkie jenama Baofeng model BF-888S di Sinsuran Complex pada tarikh yang sama.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan bagi kesemua pertuduhan terbabit, OKS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti menjual, memiliki dan menggunakan apa-apa kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai pemerakuan.
"Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk penggunaannya yang boleh mendatangkan impak negatif kepada pengguna," menurut kenyataan itu hari ini.
MCMC menjelaskan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui boleh mengakibatkan gangguan kepada rangkaian telekomunikasi, kualiti perkhidmatan dan akhirnya mengundang masalah kepada pengguna lain.
Selain itu, kelengkapan komunikasi tidak diperakui mungkin tidak berfungsi dengan baik dan mengakibatkan kualiti perkhidmatan yang rendah dan ketidakpuasan pengguna.
Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi "MCMC Check Your Label" untuk menyemak status pemerakuan sesebuah kelengkapan komunikasi sebelum membeli dan menggunakannya.
-- BERNAMA