Dua penerbangan petang Sabtu di LTSAS batal akibat jerebu

Bernama
September 21, 2019 05:41 MYT
Kaunter pendaftaran penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah ditutup berikutan semua penerbangan dibatalkan akibat jerebu ketika tinjauan Bernama 18 Sept lalu. --fotoBERNAMA/Fail
Dua daripada enam penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini pada petang Sabtu terpaksa dibatalkan disebabkan jerebu.
Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata penerbangan yang dibatalkan melibatkan laluan Johor Bahru-Ipoh-Johor Bahru dari syarikat penerbangan Malindo Air dan laluan Singapura-Ipoh-Singapura dari syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot.
"Jarak penglihatan adalah 2,500 meter setakat pukul 5.50 petang ini," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, 417 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan pada Sabtu.
Pihak LTSAS sentiasa melakukan pemantauan keadaan semasa bersama pihak berkaitan termasuk pejabat Jabatan Meteorologi dan kawalan trafik udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.
Pagi Jumaat, tiga penerbangan dibatalkan sebelum penerbangan beroperasi semula pada pukul 11 pagi apabila jarak penglihatan meningkat selepas hujan.
Pemeriksaan dalam portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua lima stesen di Perak adalah pada tahap sederhana setakat pukul 7.00 petang semalam.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.
-- BERNAMA
#FlyScoot #hujan #Indeks Pencemaran Udara #Ipoh #IPU #Jabatan Meteorologi #jarak penglihatan #jerebu #Johor Bahru #Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah #LTSAS #Malindo Air #penerbangan #penerbangan batal #Singapura
;