Dua penerbangan di Kuching dibatal, enam lagi alami kelewatan
Bernama
September 17, 2015 12:51 MYT
September 17, 2015 12:51 MYT
Dua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAB Kuching) dibatalkan akibat jerebu pagi Khamis.
Pengurus LTAB Kuching, Mohd Nadzim Hashim berkata penerbangan tersebut berupa ketibaan dan pelepasan melibatkan sektor Kuching-Tanjung Manis dan Tanjung Manis-Kuching.
Beliau berkata ia melibatkan penerbangan MASwings yang menggunakan pesawat Twin Otter yang membawa tujuh penumpang.
Sementara itu enam penerbangan mengalami kelewatan masing-masing melibatkan tiga perlepasan dan tiga ketibaan.
Dua syarikat penerbangan yang terlibat dengan kelewatan itu ialah pesawat AirAsia dan Malindo Air yang membabitkan 861 penumpang, 430 penumpang yang tiba dan 431 penumpang yang berlepas, katanya.
Setakat 11 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching mencatat paras 209 iaitu sangat tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Sarawak pagi Khamis mengeluarkan arahan untuk menutup sekolah di Kuching, Samarahan, Padawan, Lundu dan Bau berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri paras tidak sihat.