Dua pendatang tanpa izin ditemukan terikat di pokok

Bernama
September 28, 2021 06:00 MYT
Kedua-dua lelaki itu mendakwa kesemua barang milik mereka ada pada seorang lelaki yang tidak pasti butirannya. - Foto PGA7/BERNAMA
PASIR MAS: Dua lelaki warga Myanmar tanpa sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah ditemukan terikat pada pokok getah berdekatan hutan di Kampung Rahmat, dekat sini, Ahad lepas.
Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata kedua-dua lelaki berumur 32 dan 33 tahun itu ditemukan anggota PGA7 semasa sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan pada pukul 10.30 malam.
"Kedua-dua lelaki itu memberitahu kesemua barang milik mereka ada pada seorang lelaki yang tidak pasti butirannya, dan disyaki individu itu terbabit dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin," katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lubok Stol bagi siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Negeri Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
-- BERNAMA
#Pasir Mas #PGA7 #ikat pada pokok #Azhari Nusi #seludup PATI #warga myanmar
;