Dua pencipta kandungan wakili Malaysia dalam program 'ASEAN LIVE Creators for Change'
Bernama
Januari 22, 2025 12:00 MYT
Januari 22, 2025 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Peluang bersiaran langsung menerusi aplikasi TikTok selepas terpilih dalam ASEAN LIVE Creators for Change Programme bakal digunakan sebaik mungkin pempengaruh pendidikan atau Edufluencer Mohd Firdaus Ruslan, 38, bagi mempromosikan peluang pendidikan di negara ini.
Mohd Firdaus yang dikenali sebagai Sir Pedot dalam kalangan pengguna TikTok berkata program anjuran Yayasan ASEAN dengan kerjasama TikTok itu membuka peluang kepadanya untuk meningkatkan kesedaran mengenai bidang pendidikan lebih-lebih lagi di Malaysia melalui kerjasama serantau.
"Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini, jadi kita boleh menikmati banyak manfaat daripada kerjasama ini. Sebagai contoh, terdapat universiti terlibat dalam ASEAN University Network (AUN) yang membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di negara ASEAN lain dengan pelbagai kemudahan dan keistimewaan namun ramai masih tidak tahu mengenainya.
"Mungkin kita juga boleh memberi penerangan kepada masyarakat luar mengenai manfaat yang mereka akan peroleh jika menyambung pengajian di Malaysia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama enam bulan bermula Februari depan memerlukan semua peserta mengendalikan sekurang-kurangnya enam sesi TikTok Live setiap bulan dengan setiap sesi bersiaran sekurang-kurangnya sejam.
Tiga pencipta kandungan terbaik dalam program berkenaan dijangka diumum pada Ogos nanti dan bakal menerima ganjaran kewangan serta peluang menghadiri acara serantau ASEAN.
Berkongsi lebih lanjut, Mohd Firdaus yang juga Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kedah berkata walaupun sudah biasa membuat kandungan video namun beliau mengakui melakukan siaran langsung sangat mencabar.
"Cabaran utama saya adalah untuk memastikan penonton tidak lari dan sentiasa mendapat maklumat berguna dalam tempoh sejam. Untuk itu, saya bercadang mengadakan kuiz bagi menjadikan perbincangan lebih dinamik dan menarik.
"Kalau siaran langsung walaupun tiada penonton, saya perlu terus bercakap. Jika saya berhenti, penonton mungkin akan keluar. Ini kemahiran yang perlu saya kembangkan namun saya yakin lama-kelamaan saya akan semakin terbiasa dan lebih mahir," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta Malaysia yang terpilih Ashraf Daniel Anuar meluahkan rasa syukur kerana videonya yang menonjolkan elemen tarian dan makanan tradisional serta penulisan karya seni membolehkannya terpilih.
"Saya berasa sangat terkejut dan bersyukur apabila mengetahui saya terpilih. Pada mulanya, saya tidak terlalu yakin kerana prosesnya melibatkan aplikasi dan penyediaan video, sesuatu yang saya rasa bukan kelebihan saya.
Bagaimanapun, pelajar Kolej Vokasional Keningau, Sabah itu berterima kasih kepada para pensyarah yang sentiasa memberi sokongan untuk mencuba serta membantu menghasilakn video menarik.
Merancang untuk mengetengahkan topik sama, pelajar berusia 20 tahun dan sedang mengikuti jurusan Diploma Bakeri dan Pastri itu mengakui kekangan masa menjadi cabaran utama.
"Untuk video, kita boleh rakam dan sunting, tetapi bagi sesi langsung, kita perlu berinteraksi secara langsung dan itu memerlukan masa serta persediaan lebih rapi serta teliti.
"Masa saya sangat terhad untuk melakukan banyak perkara kerana pada Mac atau April nanti, saya akan menjalani latihan praktikal. Apa-apa pun, saya akan cuba yang terbaik.
"Saya berharap dapat meluaskan pandangan masyarakat luar terhadap Malaysia kerana kita memiliki pelbagai budaya yang sangat berharga, dan ini peluang terbaik untuk memperkenalkan keindahan budaya kita kepada dunia," katanya.
Mohd Firdaus dan Ashraf Daniel antara 20 pencipta kandungan muda dari 10 negara ASEAN yang dipilih untuk menghasilkan kandungan secara langsung yang bertujuan mendidik, memberi motivasi, dan menginspirasi penonton mengenai isu-isu sosiobudaya yang relevan di rantau ini.
-- BERNAMA