Dua pemuda warga asing didakwa rogol remaja 15 tahun

Astro Awani
November 12, 2020 19:53 MYT
Remaja Rohingya berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Juvana atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan tempatan berumur 15 tahun di tangga sebuah perumahan di tempat serupa pada 2 pagi, Ogos lepas. - Foto BERNAMA
AMPANG: Dua lelaki Rohingya termasuk seorang remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan kerana pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Ogos lalu.
Tertuduh, berstatus juvana berusia 17 tahun dan seorang lagi tertuduh berusia 20 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norhazani Hamzah dan Majistret Normaizan Rahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh juvana berkemeja T kolar merah dan putih, didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, dengan tuduhan dengan sengaja merogol mangsa, yang ketika itu berusia 15 tahun tujuh bulan.
Kejadian didakwa dilakukan di tangga di Taman Komersil, Pandan Indah pada jam 2 pagi, Ogos lalu.
BACA: Enam lelaki warga asing ditahan bantu siasatan kes rogol kanak-kanak 15 tahun
Sementara itu tertuduh kedua, berusia 20 tahun, bekerja sebagai operator kilang didakwa atas dua pertuduhan merogol ke atas mangsa yang sama di sebuah rumah tidak bernombor di lokasi sama.
Kejadian didakwa dilakukan pada jam 3 petang, Oktober 2019 dan jam 1 petang, September lalu.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Mahkamah menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.
#Rohingya #Ampang #mahkamah #mangsa #rogol #pemuda #Mahkamah Majistret #warga asing #penjara
;