Dua pemilik syarikat pembekalan babi didenda miliki karkas babi disembelih tanpa lesen
Bernama
Januari 17, 2024 22:25 MYT
Januari 17, 2024 22:25 MYT
BANGI: Seorang pemilik syarikat pembekalan babi didenda RM7,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan memiliki karkas babi seberat 11,510 kilogram (kg) yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang dilesenkan pada Jun tahun lepas.
Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Orang Kena Tuduh (OKS) Leong Weng Choon, 60, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Kaedah 5 (3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Cresthill Industrial Park, Bandar Teknologi Kajang, dekat sini, pada 10.25 pagi, 1 Jun 2023 mengikut Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000. OKS membayar denda tersebut.
Mengikut fakta kes, ketika serbuan oleh pasukan Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor di premis tersebut, terdapat karkas babi dalam milikan OKS dan dia gagal mengemukakan dokumen JPV bagi pemilikan karkas babi tersebut.
Beberapa barangan turut dirampas termasuk sebuah bilik sejuk beku, 110 kotak karkas babi, 128 paket lemak babi dan 748 paket babi.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPV Selangor Fadzilah Abdul Karim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada OKS dan pemain industri ternakan khususnya babi memandangkan karkas babi yang dimilikinya didapati positif penyakit African Swine Fever (ASF).
Peguam Lau Zher Tung yang mewakili OKS memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya telah insaf selain perlu menanggung kerugian akibat karkas babi bernilai RM100,000 yang dilupuskan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kajang, seorang lagi pemilik syarikat pembekalan babi turut didenda RM6,000 atau enam bulan penjara atas kesalahan sama, memiliki 702kg karkas babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang dilesenkan, November tahun lepas.
Low Kang Siong, 38, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nik Siti Nurazlini Nik Mohamed Faiz kerana memiliki karkas babi tersebut di Kilang Sintak Kee Foods Trading, Industrial Park Balakong, Seri Kembangan, dekat sini, pada 4.30 petang, 1 Nov 2023 dan didakwa di bawah kaedah sama.
Pegawai Pendakwa JPV Selangor Remie Ramli memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS, namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak tahu pemilikan karkas babi memerlukan kebenaran dan lesen JPV.
OKS membayar denda berkenaan.
-- BERNAMA