Dua pembantu rumah Jejai dipenjara enam bulan kerana mencuri
Bernama
Mei 30, 2014 17:09 MYT
Mei 30, 2014 17:09 MYT
Dua pembantu rumah suami pelakon Fasha Sandha hari ini dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini kerana mencuri wang milik suami pelakon itu sebuah rumah di Ampang Jaya.
Majistret Zulyana Zolkapli membuat keputusan itu selepas kedua-dua warga Indonesia itu, Nilawati, 39, dan Sri Maniami, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 13 Mac lepas.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencuri matawang rupiah dan wang Ringgit Malaysia berjumlah RM200 milik Rizal Ashram Ramli, 38, di sebuah rumah di Jalan Duta Suria, Ampang Jaya, di sini pada 9.45 malam, 12 Mac lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu dalam rayuan mereka, kedua-dua wanita itu menangis teresak-esak memohon mahkamah meringankan hukuman kerana ingin menyambut Ramadan bersama keluarga di kampung.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum.