Dua pembantu pendaftaran JPN mengaku tidak bersalah minta suapan RM2,000
Bernama
September 12, 2019 22:44 MYT
September 12, 2019 22:44 MYT
Dua rakan sekerja di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), mengaku tidak bersalah, hari ini di Mahkamah Khas Rasuah Sabah di sini, atas pertuduhan meminta suapan untuk menerima, memproses serta meluluskan permohonan pendaftaran kad pengenalan, pada dua tahun lalu.
Azmi Amir Lunji, 44, dan Yuliana Saat,42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Kedua-dua tertuduh ketika kejadian bertugas sebagai Pembantu Pendaftaran Gred KP22 di JPN Semporna.
Dalam kertas pertuduhan, Azmi pada 26 April 2017, jam 8 malam, di tempat letak kereta sebuah pasaraya, Jalan Seri Melor, Semporna, meminta suapan RM2,000 daripada Sufiah Said menerusi Yuliana sebagai dorongan meluluskan permohonan pendaftaran kad pengenalan anak kembar Sufiah berusia 12 tahun,
Manakala pada 5.30 petang sebelum itu, bertempat di Restoran Seri Cahaya, Semporna, Yuliana didakwa meminta suapan RM2,000 daripada Sufiah sebagai dorongan menerima serta memproses permohonan pendaftaran kad pengenalan anak kembar Sufiah.
Dengan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Mahkamah menetapkan 15 Nov depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Selain itu, tertuduh masing-masing diperintah membayar jaminan RM10,000 termasuk deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Azmi juga diarahkan supaya melaporkan diri di Pejabat SPRM Tawau dua bulan sekali, manakala Yuliana, sebulan sekali, dan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basirudin.
--BERNAMA
#Azmi Amir Lunji
#Jabatan Pendaftaran Negara
#Jalan Seri Melor
#JPN
#JPN Semporna
#Pembantu Pendaftaran
#Restoran Seri Cahaya
#SPRM
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#terima suapan
#Yuliana Saat