Dua pemandu maut selepas kereta bertembung di Batu Pahat

Bernama
Mac 16, 2024 13:58 MYT
Dua kereta Myvi bertembung menyebabkan kedua-dua pemandu maut dalam kemalangan di KM 103 Jalan Johor Bahru-Melaka (Tanjung Labuh) pada malam Jumaat. -Foto Polis Batu Pahat
BATU PAHAT: Dua pemandu maut selepas kereta yang dipandu bertembung dalam kemalangan di Kilometer 103 Jalan Johor Bahru-Melaka, berhampiran Tanjung Labuh, dekat sini lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu seorang wanita Chin Sio Mei, 43, dari arah Rengit menghala ke Batu Pahat bertembung dengan sebuah lagi kereta yang dipandu oleh Mohammad Ariff Azeem Ahmad, 22, dari arah bertentangan yang masuk ke laluannya, pada kira-kira pukul 11.40 malam.
Beliau berkata kedua-dua pemandu yang berasal dari Batu Pahat itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk diambil keterangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit Pegawai Bomba Kanan II Zulhaizan Ishak dalam kenyataan berkata lapan anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) bergegas ke lokasi sejurus selepas menerima panggilan kecemasan.
Katanya mangsa yang tersepit di bahagian pemandu dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dengan menggunakan peralatan 'rescue tools' dan mangsa diserahkan ke pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"PKO kemudiannya bertindak membersihkan kesan kemalangan dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula dan air tangki pam jentera. Operasi ditamatkan pada pukul 12.49 tengah malam," katanya.
-- BERNAMA
#Dua pemandu maut #kereta bertembung #Tanjung Labuh #Chin Sio Mei #Mohammad Ariff Azeem Ahmad
;