Dua pemandu kereta terperangkap dalam banjir di Kuala Lumpur
Sinar Harian
November 8, 2022 23:22 MYT
November 8, 2022 23:22 MYT
KUALA LUMPUR: Dua pemandu kereta berdepan detik cemas selepas kenderaan mereka terperangkap di dalam banjir kilat di Jalan Chan Sow Lin di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian pada jam 7.40 malam, paras air di kawasan tersebut naik mendadak.
"Mangsa seorang wanita berusia 23 tahun yang memandu Perodua Axia dan seorang lelaki berusia 39 tahun memandu kereta jenis Subaru telah masuk kawasan banjir dan tidak sempat untuk mengundur kenderaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Ashari berkata, kedua-dua mangsa yang terperangkap itu berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kecederaan.
"Kedua-dua kenderaan itu juga telah dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.
Ashari berkata, paras air surut sepenuhnya pada jam 8.20 malam. - Sinar Harian