Dua pemancing hilang di jeti ditemukan lemas

Nurul Izzatull Hani Seman
September 22, 2021 13:13 MYT
Mayat mangsa pertama, Ramdan Sulaiman,50 ditemui kira-kira 5 kilometer dari lokasi bot mangsa ditemui pada jam 7.10 pagi oleh nelayan. - Foto JBPM
KOTA TINGGI: Dua pemancing yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Jeti Mados Kampung Air Putih di sini, pada semalam ditemukan lemas hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.47 malam semalam sebelum menghantar 11 anggota ke lokasi.
“Mayat mangsa pertama, Ramdan Sulaiman, 50, ditemui kira-kira 5 kilometer dari lokasi bot mangsa ditemui pada jam 7.10 pagi oleh nelayan.
“Manakala, mangsa kedua, Amirrudin Abdul Malik, 53, pula ditemui oleh nelayan pada jam 8.04 pagi pada jarak 200 meter dari lokasi bot mangsa.
“Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya lagi, pihak bomba telah membuat 'surface searching' dibantu 11 anggota dari pasukan Polis Marin dan tujuh anggota dari PDRM serta dibantu 8 anggota dari Unit PPDA JBPM Johor.
“Penyelaman dilakukan pada 100 kaki radius dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Al Hasra, berdasarkan makluman awal, kedua-dua mangsa dipercayai sedang memancing ketika kejadian dan dipercayai lemas selepas hanya bot mereka sahaja ditemui daripada jeti dianggarkan 400 meter dengan kedalaman air 15 meter.
“Kejadian disedari oleh seorang pekerja korek pasir berhampiran lokasi mangsa dipercayai lemas selepas melihat kedua-dua mangsa sedang memancing.
“Namun selang beberapa minit saksi mendengar suara jeritan meminta tolong berhampiran bot mangsa dan kemudiannya mangsa hilang dari pandangan.
“Operasi ditamatkan pada jam 9.30 pagi tadi,” katanya lagi.
#pemancing lemas #Kota Tinggi #mayat nelayan dtemui #bomba
;