Dua pelajar UiTM Jengka maut kemalangan
Sharin Nahar
Mac 2, 2019 20:50 MYT
Mac 2, 2019 20:50 MYT
Dua pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka dekat sini maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 22 Jalan Temerloh-Bandar Jengka berdekatan Sungai Nerek, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian pukul 12.35 tengah hari itu, mangsa, Siti Najiha Azahar, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda disahkan maut di tempat kejadian manakala rakannya, Aina Mardhiah Razmi, yang membonceng motosikal berkenaan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah UiTM Jengka menghala ke Temerloh.
"Bagaimanapun, ketika sampai di tempat kejadian, motosikal berkenaan dipercayai sedang memotong sebuah kenderaan lain, namun tidak lepas sebelum bertembung dengan Toyota Camry yang datang dari arah bertentangan" katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, akibat pertembungan itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan HOSHAS.
"Namun pemandu Toyota Camry itu, Mohd Sabre Abdul Rahim, 51, yang beralamat di FELDA Melati Jengka 11 di sini tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik HOSHAS untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga proses pengkebumian.
"Kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
#Aina Mardhiah Razmi
#HOSHAS
#Hospital Sultan Haji Ahmad Shah
#motosikal bertembung kereta
#Norzamri Abd Rahman
#Siti Najiha Azahar
#Sungai Nerek
#UiTM
#UiTM Jengka
#Universiti Teknologi MARA