Dua pelajar tingkatan satu lemas mandi di pantai Seberang Takir
Bernama
Disember 12, 2016 07:43 MYT
Disember 12, 2016 07:43 MYT
Dua pelajar tingkatan satu ditemui lemas selepas mandi di Pantai Seberang Takir, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba Kuala Terengganu Che Shaari Abdullah berkata kedua-dua mangsa mandi di pantai tersebut bersama dua lagi rakan mereka.
Beliau berkata mayat Mohd Mujahid Mohd Zuni, 13, ditemui pasukan penyelam kira-kira 6 petang tadi, manakala Ahmad Baihaqi Nor Shariman dijumpai pada 10.35 malam ini.
"Mayat Mohd Mujahid ditemui di tepi pantai tidak jauh dari tempat mereka mandi, kira-kira 10 meter sahaja manakala mayat Ahmad Baihaqi ditemui pada jarak 500 meter dari lokasi yang sama," katanya kepada pemberita di sini.
Che Shaari berkata operasi mencari mangsa melibatkan kekuatan 26 anggota termasuk tujuh daripada pasukan skuba, enam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan sembilan anggota polis.
Susulan kejadian itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan keadaan ombak besar dan cuaca tidak menentu sekarang.
-- BERNAMA