Dua pelajar tahfiz dikhuatiri lemas di Pantai Rhu 10 Setiu

Bernama
Disember 21, 2015 22:39 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat menggunakan jetski di kawasan pesisir pantai untuk mencari dua pelajar tahfiz yang dipercayai lemas di Pantai Rhu Sepuluh Penarik hari ini. - Foto Bernama
Dua pelajar tahfiz dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang dihanyutkan arus ketika mandi di Pantai Rhu 10, dekat sini hari ini, menurut Pegawai Bomba Kanan I Jabatan Bomba dan Penyelamat Setiu Karomi Nordin.
Beliau berkata dua pelajar itu dikenal pasti sebagai Mohd Naim Adnan, 17, berasal dari Kampung Seri Bengkal, Batu Pahat, Johor manakala seorang lagi Mohd Wafiq Mohd Nor, 17, dari Kampung Seri Bengkal Mukim 6, Parit Yaani, Yong Peng, Johor.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, rakan kedua-dua pelajar itu, Ahmad Izad Shahruddin, 17, bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam dan dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat kedua-dua pelajar itu sedang dijalankan anggota bomba dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan orang awam.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut meninjau keadaan di lokasi kejadian kira-kira pukul 2 petang ini.
#lemas #pantai rhu
;