Dua pelajar sekolah pondok di Pasir Tumboh dikhuatiri lemas
Vivi Sumanti
Jun 16, 2022 21:35 MYT
Jun 16, 2022 21:35 MYT
KOTA BHARU: Dua pelajar Madrasah An Diniah Bakriah, Pasir Tumboh dikhuatiri lemas selepas mandi di sungai Terusan, Pasir Tumboh lewat petang tadi.
Laporan awal pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan memaklumkan dua mangsa berkenaan bersama beberapa orang rakannya yang lain dipercayai mandi di sungai berkenaan.
Bagaimanapun dua pelajar yang masing-masing berusia 17 dan 18 tahun itu hilang manakala rakan mereka yang lain berjaya menyelamatkan diri.
Menurut pihak bomba, Pusat Gerakan menerima laporan kejadian sekitar jam 7.16 malam Khamis.
Seramai tujuh anggota bomba dan penyelamat serta polis berada di lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pencarian.
Setakat ini, operasi mencari masih giat dijalankan.
Difahmakan, jarak di antara pondok pengajian dengan sungai berkenaan kira kira 200 meter.