Dua pelajar sekolah maut motosikal bertembung kereta
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 20, 2023 18:12 MYT
Januari 20, 2023 18:12 MYT
BALIK PULAU: Dua pelajar perempuan berusia 17 tahun maut selepas motosikal mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sungai Rusa, Sungai Pinang, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala seorang lagi meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata, dalam kejadian itu, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai bertembung dengan Proton Waja dipandu lelaki berusia 35 tahun.
Menurutnya, ketika kejadian, kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Georgetown menuju ke Kuala Sungai Pinang.
"Apabila sampai Jalan Sungai Rusa, Sungai Pinang, motosikal yang ditunggangi kedua-dua mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai selepas memotong sebuah kenderaan lain.
"Akibat kejadian itu, pemandu kereta yang berasal dari Gelugor itu hanya mengalami cedera ringan di bahagian pipi kanan manakala mangsa yang menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kamarul Rizal berkata, hasil siasatan mendapati pemandu kereta dan penunggang motosikal mempunyai lesen yang sah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, " katanya.