Dua pelajar maut dalam kemalangan ngeri di Setiu

Bernama
Mei 2, 2016 12:00 MYT
Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa itu parah di bahagian kepala dan badan serta seorang putus kepala. - Gambar hiasan
Dua pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam nahas jalan raya di Kampung Gong Kubur, Permaisuri, di sini semalam.
Kejadian kira-kira 5.25 petang itu menyebabkan mangsa Amirul Hakimi Sabri dan rakannya Muhamad Aqil Abu Bakar, yang masing-masing berusia 17 tahun, maut di tempat kejadian.
Ketika kejadian dua remaja yang menaiki motosikal jenis Ex-5 itu yang ditunggangi Amirul Hakimi dari arah Permaisuri menuju ke Penarik (laluan pantai).
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi nahas, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mizan itu dipercayai cuba memotong sebuah motosikal lain namun hilang kawalan lalu terjatuh ke kanan jalan.
Difahamkan, ekoran jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu kereta Hyundai yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan dipercayai merempuh kedua sahabat berkenaan.
Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Tepoh dan Kampung Padang Hangus itu parah di bahagian kepala dan badan serta seorang putus kepala.
Sementara itu Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Kamaludin Mohamad ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan.
"Penunggang dan pembonceng motosikal maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan," katanya.
#kemalangan motosikal #kemalangan ngeri #pelajar maut
;