Dua pelajar Malaysia raih anugerah perak di Program ASEAN Cyberkids Camp
Afiezy Azaman
September 14, 2021 17:30 MYT
September 14, 2021 17:30 MYT
KUALA LUMPUR: Dua pelajar sekolah rendah Malaysia, Zenner Poh Jin Chan dan Khairrurijal Fahmi Anuar Fikri, berjaya meraih Anugerah Perak dalam Program ASEAN Cyberkids Camp 2021, baru-baru ini.
Program yang dianjurkan secara maya oleh Kementerian Pos dan Telekomunikasi Kemboja itu merupakan salah satu inisiatif di bawah Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1).
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkata, program berkenaan bertujuan memantapkan jalinan kerjasama negara-negara ASEAN ke arah pembangunan ekosistem digital sebagai tunjang dalam rancangan pembangunan pasca COVID-19.
Selain itu, ia juga bertujuan mempertingkatkan kerjasama serantau dan integrasi dalam kalangan negara anggota ASEAN.
"Zenner dan Khairrurijal masing-masing dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Puay Chai 2, Selangor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya mewakili Malaysia ke program tersebut telah diberikan tugasan menghasilkan projek pengaturcaraan multimedia kreatif dengan menggunakan aplikasi dalam talian Scratch bertemakan Technologies Save Lives During COVID-19 Pandemic.
"Sebanyak lapan buah negara anggota ASEAN telah mengambil bahagian pada kali ini iaitu setiap negara diwakili oleh pasukan terdiri daripada dua orang pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun serta dua orang tutor.
"Malaysia yang diwakili oleh Zenner dan Khairrurijal masing-masing diiringi oleh guru pengiring iaitu Pang Kah Huey dan Nur Suraya Mastura Mohd Majid," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
KKMM berharap kemenangan itu akan menggalakkan lebih ramai pelajar mendalami bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang menjadi antara kemahiran penting dalam memacu digitalisasi masa hadapan negara.
"Program yang diperkenalkan oleh Malaysia pada tahun 2008 dan kini dijadikan acara tahunan secara bergilir dalam kalangan negara anggota memberi fokus kepada menyebarkan pengetahuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan pelajar.
"Ini bagi merapatkan jurang digital di antara negara anggota ASEAN serta meningkatkan kemahiran pelajar dalam pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan keupayaan menggunakan ICT," ujarnya.