Dua pelajar kolej vokasional jadi mangsa buli 'ingkar' arahan senior

Sharom Abu Bakar
Ogos 8, 2017 23:20 MYT
Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya termasuk di belakang. - Gambar Astro AWANI
Dituduh ingkar arahan, dua pelajar kolej vokasional di Kuala Nerus menjadi mangsa belasahan kira kira dua puluh pelajar senior di kolej itu.
Akibat tindakan tidak berperi kemanusiaan itu, mangsa pelajar jurusan elektronik di kolej berkenaan mengalami kecederaan dan lebam di bahagian belakang badan.
Lebih malang, salah seorang daripada mereka terpaksa dirawat di hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Menurut salah seorang mangsa, Wan Ahmad Faris Wan Zakaria,16, kejadian berlaku antara jam 11.30 malam Isnin dan berlarutan hingga awal pagi Selasa, ketika dia dan rakannya sedang tidur di asrama sebelum didatangi kumpulan pelajar terbabit.
Wan Ahmad Faris berkata kumpulan senior memukul, menumbuk serta memijak rakan sebiliknya selama hampir sejam.
Pelajar senior terbabit kemudianya turut memukul dan menendang kakinya serta memijak bahagian belakang badannya.
“Dia pukul sebab pelajar lain tuduh kami degil dan sombong dan perkara itu diperbesarkan dan kami juga tidak solat walapun sudah dikejutkan dari tidur," katanya.
Pelajar senior berkenaan juga mengugut akan melakukan lebih teruk sekiranya kejadian itu diadukan kepada pihak pengurusan.
Bagaimanapun, salah seorang pelajar memaklumkan kejadian berkenaan kepada sepupu mangsa yang juga penuntut tingkatan tiga kolej itu yang kemudian melaporkan kepada pihak pengurusan.
Sementara itu ibu mangsa Sofea Abd Ghani, 43, berkata dia bergegas ke kolej berkenaan sejurus menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan.
Pada mulanya dia menyangkakan anak keempat daripada enam beradik itu melakukan kesalahan.
Bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat keadaan anaknya yang lemah dengan kesan lebam di seluruh badan.
Menurut Sofea, dia mengambil keputusan membuat laporan polis setelah merasakan kejadian itu dipandang remeh meskipun anaknya terpaksa ditahan di HSNZ untuk rawatan lanjut.
"Namun sangka saya meleset selepas penyelia asrama menunjukkan badan anak saya akibat dipukul pelajar yang lain...saya memang terkejut dengan keadaan anak lemah dan tidak bermaya.
"Pihak sekolah meminta ibu bapa berbincang namun saya tetap ingin melaporkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut," katanya.
Ibu tunggal itu berkata laporan polis dibuat bagi memberi peringatan dan pengajaran kepada pelajar lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
#anak #buli #Kuala Terengganu #mangsa #pelajar #polis #sekolah #Sofia Abd Ghani #vokasional
;