Dua pelajar kolej dicabul, dirogol bergilir-gilir enam remaja

Sinar Harian
Mei 3, 2019 10:09 MYT
Kesemua remaja berusia 16 hingga 21 tahun itu ditahan malam tadi selepas kedua-dua mangsa berusia 15 tahun itu membuat laporan polis. - Foto Sinar Harian
Polis menahan enam remaja lelaki yang disyaki mencabul dan merogol secara bergilir-gilir dua pelajar sebuah kolej di sini, Selasa lalu.
Kesemua remaja berusia 16 hingga 21 tahun itu ditahan malam tadi selepas kedua-dua mangsa berusia 15 tahun itu membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, hasil siasatan awal lima suspek terlibat itu ialah penganggur manakala seorang lagi adalah seorang pelajar.
“Kedua-dua mangsa yang berada di kolej dijemput dua lelaki menggunakan dua buah motosikal untuk pergi makan di sebuah kedai berhampiran kira-kira jam 8 malam.
“Bagaimanapun, suspek membawa mangsa ke rumah sewa mereka di Kampung Sungkak, Juasseh dan apabila sampai di tempat kejadian terdapat empat lelaki yang tidak dikenali menunggu," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, suspek pertama membawa seorang mangsa ke sebuah bilik dan memeluk badan mangsa manakala suspek kedua membawa seorang lagi ke bilik berasingan lalu merogolnya
"Setelah selesai, datang lagi empat lelaki masuk ke bilik itu dan merogol mangsa kedua secara bergilir-gilir, sebelum mereka menghantar mangsa pulang ke rumah di Paroi, Seremban.
Haslah berkata, mangsa membuat laporan polis malam tadi sebelum gerakan memburu keenam-enam suspek dilancarkan.
“Kesemua suspek berjaya ditahan antara jam 11 malam hingga 2 pagi di sekitar Juasseh dan Kuala Pilah. Permohonan tahanan reman ke atas semua suspek akan dibuat.
"Lima suspek akan disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan seorang suspek lagi akan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.
#Kanak-kanak #Kuala Pilah #mangsa #pelajar #pelajar kolej #polis #rogol #Seremban #suspek
;