Dua pelajar dikhuatiri lemas ketika cuba mengambil bola dalam Sungai Perak
Abd Razak Mohd Ali
Februari 17, 2025 05:45 MYT
Februari 17, 2025 05:45 MYT
Penduduk kampung turut membantu operasi pencarian dua pelajar hilang dikhuatiri lemas di Sungai Perak menggunakan bot nelayan. - Foto JBPM Perak
PARIT: Dua pelajar sekolah menengah dikhuatiri lemas ketika cuba mengambil bola yang terjatuh di dalam Sungai Perak di Kampung Tepus, dekat sini, petang semalam.
Ketika kejadian, mangsa sedang bermain bola sepak bersama-sama rakan sebelum bola yang digunakan terjatuh ke dalam sungai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.21 petang.
Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia 16 tahun, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah, Parit.
“Penduduk kampung turut membantu operasi pencarian dengan menggunakan bot nelayan manakala anggota menggunakan bot aluminium,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dalam masa sama, kata Sabarodzi, bantuan anggota Pasukan Pencarian Di Air ( PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan BBP Pulau Pangkor diarahkan hadir bagi membantu operasi.
Menurutnya, keadaan cuaca ketika itu mendung dan arus sungai deras.
Sehingga jam 7 malam, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Adde Noor Ohman masih belum menemui sebarang petunjuk.