Dua pelajar asing teruja sambut raya di Malaysia
Sinar Harian
April 25, 2023 10:00 MYT
April 25, 2023 10:00 MYT
SERDANG: Suasana sambutan Aidilfitri semestinya akan lebih meriah dan bermakna apabila diraikan bersama keluarga dan insan tersayang.
Namun bagi penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada Pakistan, Usama Altaf, 25, tidak kekok untuk meraikan Aidilfitri di Malaysia, malah teruja melalui pengalaman menyaksikan pertembungan budaya dalam meraikan hari kemenangan itu.
Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Kesihatan Awam itu berkata, cara sambutan Aidilfitri di Malaysia tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan negara asalnya.
“Biasanya pada pagi raya, kaum lelaki akan menunaikan solat sunat di masjid, manakala wanita akan berada di rumah untuk membuat persiapan juadah tradisional seperti kheer yang akan dihidangkan sebagai menu utama.
“Pada hari pertama, kami akan menerima kunjungan daripada sanak saudara dan bertukar hidangan. Pakaian raya pula, kami memilih yang tradisional iaitu Pakistani suit,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Usama berkata, tahun ini dia dan rakan-rakan senegara tidak pergi ke pejabat kedutaan Pakistan di ibu negara seperti tahun lalu ekoran tidak ada majlis sambutan dianjurkan susulan menghormati tragedi banjir besar yang melanda negara itu, Mac lalu.
Justeru, dia mengambil peluang itu untuk melancong ke Sabah bersama rakan-rakannya.
Sementara itu bagi penuntut tahun kedua Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan daripada Nigeria, Muazu Dantala Zakari, 42, pengalaman menyambut Ramadan tahun ini dirasakan lebih mudah berbanding di negara asal.
“Tempoh berpuasa di Nigeria agak sama dengan Malaysia, namun saya rasa lebih mudah untuk laluinya di sini (Malaysia) kerana cuaca yang tidak terlalu panas dan masa (dirasakan) berlalu dengan pantas.
“Sambutan Aidilfitri pula hanya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga dan kenalan rapat berbanding mengadakan jamuan rumah terbuka seperti di Malaysia.
“Namun begitu, saya tetap teruja untuk meraikan hari raya di sini dengan menziarahi rakan-rakan selain mengambil peluang menikmati juadah raya rakyat Malaysia yang enak dan pelbagai,” ujarnya. - Sinar Harian