Dua pekerja tapak pembinaan Rapid maut dihempap kren
Bernama
Oktober 9, 2017 07:26 MYT
Oktober 9, 2017 07:26 MYT
Dua lelaki dipercayai pekerja di tapak projek pembinaan Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Kota Tinggi, maut dihempap kren, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian di tapak berkenaan, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ahsmon Bajah berkata kejadian berlaku pada 3.45 petang, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
"Mangsa yang maut adalah seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan berasal dari Selangor serta warga Pakistan berusia 22 tahun.
"Kedua-dua mangsa meninggal dunia, masing-masing di tempat kejadian serta ketika dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Seorang lagi warga Pakistan berusia 24 tahun dilaporkan cedera, namun keadaannya stabil," katanya ketika dihubungi.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir Saiful Azhar Mohd Said ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun pihaknya masih menunggu maklumat lengkap hasil siasatan jabatan itu berhubung insiden berkenaan.
Terdahulu, kejadian berkenaan menjadi tular di laman sosial Facebook selepas video mengenai insiden tersebut dimuat naik dalam akaun FB Suara Anak Pengerang, sebelum turut dikongsi sebuah lagi akaun FB Orang Kota Tinggi.
-- BERNAMA