Dua pekerja stesen minyak melecur disambar api

Aida Aziz
Jun 13, 2020 01:02 MYT
Pihak bomba menerima panggilan berhubung kebakaran petrol pam pada jam 10.26 malam Sabtu. - Foto ihsan JBPM
Dua pekerja stesen minyak melecur di bahagian kaki dalam insiden kebakaran melibatkan tangki simpanan petrol bawah tanah di Jalan Felda Trolak Utara, Sungkai di sini pada lewat malam Sabtu.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa dikenali sebagai Nor Azizan, 43, yang melecur di bahagian kaki kanan dan Mohamad Hazarul Azwan, 30, yang melecur di kedua-dua bahagian kaki.
"Pihak bomba menerima panggilan berhubung kebakaran petrol pam pada jam 10.26 malam sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan tangki simpanan petrol di bawah tanah, mini petrol pam (SMART) di bawah seliaan Koperasi Felda Trolak Utara.
"Terdapat dua orang mangsa lelaki yang merupakan pekerja mengalami kecederaan akibat sambaran api yang terjadi ketika kerja-kerja pembersihan dijalankan," katanya dalam kenyataan pada awal pagi Ahad.
Ujarnya lagi, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh orang awam dengan menggunakan alat pemadam api, di samping anggota membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada unsur-unsur kemerbahayaan lain.
Katanya, kedua-dua mangsa seterusnya dibawa ke hospital oleh pihak ambulans dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.19 malam.
#cedera #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kebakaran #melecur #Mohamad Hazarul Azwan #Nor Azizan #Slim River #SMART #Sungkai #tangki simpanan petrol
;