Dua pekerja rentung dalam kebakaran kilang elektronik
Shuhada Abdul Kadir
Februari 24, 2025 13:45 MYT
Februari 24, 2025 13:45 MYT
Kebakaran di bahagian atas bangunan dua tingkat itu menyebabkan kira-kira 40 peratus daripada bilik transformer itu musnah. - Foto JBPM
MELAKA TENGAH: Dua pekerja kilang warga Bangladesh rentung manakala dua lagi melecur dalam kebakaran di sebuah kilang elektronik di kawasan perindustrian Tangga Batu, pagi tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Roslan Manas berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, semua mangsa terlibat berusia lingkungan 30-an.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.08 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan dibantu BBP Cheng dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, empat mangsa terlibat dalam insiden ini, di mana dua lelaki warga Bangladesh berjaya dikeluarkan namun mengalami kecederaan melecur.
“Kita menerima laporan dua lagi mangsa yang terperangkap telah dijumpai dan disahkan meninggal dunia namun belum dapat dikeluarkan kerana api masih marak dan kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ujarnya, kebakaran di bahagian atas bangunan dua tingkat itu menyebabkan kira-kira 40 peratus daripada bilik transformer itu musnah dalam insiden tersebut.