Dua pekerja parah dihempap dinding konkrit

Dewi Nur Harasha Alias
November 29, 2020 23:08 MYT
Siasatan awal mendapati dua pekerja itu sedang melakukan kerja merobohkan dinding itu sebelum ia menghempap mereka. -Gambar/ JBPM
BATU KAWAN: Dua pekerja Bangladesh yang sedang melakukan kerja pengubahsuaian di sebuah kedai serbaneka di Bandar Cassia di sini, parah selepas dihempap dinding konkrit yang runtuh petang Ahad.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa lelaki berusia 42 tahun cedera pada muka selain tapak tangannya hancur, manakala rakannya yang berusia 40 tahun cedera pada kaki dan pinggang.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Azmi Tahar berkata pihaknya yang menerima panggilan bergegas ke lokasi dan sebaik tiba mendapati dua lelaki itu terperangkap di bawah runtuhan dinding.
"Kerja-kerja menyelamatkan mangsa dengan mengangkat runtuhan dilakukan segera dan mereka kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati dua pekerja itu sedang melakukan kerja merobohkan dinding itu sebelum ia menghempap mereka.
Katanya beberapa pekerja lain cuba membantu untuk mengeluarkan mereka namun dinding konkrit tersebut terlalu berat.
#Pekerja #parah #dihempap konkrit #dinding runtuh #batu kawan #pulau pinang #bomba #pekerja Bangladesh
;