Dua pekerja melecur, kilang proses minyak sawit mentah terbakar
Bernama
Februari 7, 2025 19:30 MYT
Februari 7, 2025 19:30 MYT
Bomba menerima makluman mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 43 dan 36 tahun itu pada 1.09 petang.
SEREMBAN: Dua pekerja lelaki warga tempatan dan Indonesia melecur tahap dua dalam kejadian kebakaran di sebuah kilang memproses minyak sawit mentah di Taman Nilai di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima makluman mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 43 dan 36 tahun itu pada 1.09 petang.
"Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini.
"Kebakaran melibatkan sebahagian daripada struktur kilang berukuran 7,534 kaki persegi iaitu di bahagian gudang memproses minyak sawit mentah, sebuah 'skylift' dan jengkaut dengan kebakaran dianggarkan 20 peratus," menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan tersebut, bomba membuat kerja 'overhaul' menggunakan salur bantu mula premis dan dua pancutan satu aliran 300' pam jentera dan kebakaran berjaya dipadamkan pada 1.55 petang.
-- BERNAMA