Dua pekerja maut di stadium dipercayai terjatuh pada ketinggian 27 meter - JKKP

Bernama
Jun 14, 2022 12:41 MYT
Semalam, dua pekerja pembersihan kontrak di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, dilaporkan maut terjatuh ketika membuat kerja-kerja pembersihan di stadium berkenaan. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Dua mangsa yang dilaporkan maut di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam, dipercayai terjatuh dari bumbung kanvas ke atas pagar 'British Reinforced Concrete' (BRC) stadium pada ketinggian dianggarkan 27 meter.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor Husdin Che Amat berkata jabatan itu telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan berhubung kes kemalangan itu yang melibatkan dua lelaki warga tempatan berusia 34 dan 35 tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati bahawa kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai juruteknik ditugaskan secara berpasangan bagi membuat kerja-kerja pembersihan bumbung kanvas stadium menggunakan teknik 'rope access' di atas kawasan berdekatan pintu masuk Gate A berhadapan Ibu Pejabat Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilaporkan terjatuh dari atas bumbung kanvas ke atas pagar BRC (anggaran ketinggian 27 meter) dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Husdin berkata JKKP memandang serius setiap kemalangan serta penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi melengkapkan hasil siasatan.
Beliau berkata tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"Pekerja yang bekerja di tempat tinggi terdedah kepada risiko bahaya, namun ia boleh dikurangkan sekiranya majikan menggunakan instrumen (peralatan) yang sistematik terdiri daripada tiga proses utama iaitu pengenalpastian hazard (bahaya), penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC).
"Selain itu, majikan juga boleh merujuk kepada Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang dikeluarkan oleh JKKP pada 2007," katanya.
BACA: Dua pekerja pembersihan Stadium JDT maut
Semalam, dua pekerja pembersihan kontrak di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, dilaporkan maut terjatuh ketika membuat kerja-kerja pembersihan di stadium berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA
#pekerja pembersihan #Stadium Sultan Ibrahim #jatuh stadium #JKKP
;