Dua pekerja kontrak maut tertimbus runtuhan tanah
Bernama
Disember 27, 2012 17:46 MYT
Disember 27, 2012 17:46 MYT
Dua pekerja kontrak maut akibat tertimbus tanah yang runtuh di tapak pembinaan taman perumahan Ambangan Heights Sungai Petani pagi Khamis.
Mereka ialah P Morgan, 39, dan S Saravanan, 25, yang ketika itu berada di dalam sebuah lubang sedalam 10 meter untuk memasang paip saluran kumbahan dengan dibantu majikan mereka, Ng Jun Chuan, 45, dan seorang lagi pekerja Ming Wei Toh, 51.
Ng tercedera dalam kejadian kira-kira pukul 10.3 pagi itu diselamatkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Rosdi Ismail berkata sepasukan 13 anggota bomba yang dikejarkan ke tempat kejadian telah mengorek runtuhan tanah itu dan menemui mayat Morgan pada pukul 12.10 tengah hari manakala mayat Saravanan ditemui lebih sejam kemudian.
Ming yang terselamat memberitahu pemberita bahawa tanah di tepi lubang saluran itu runtuh secara tiba-tiba.
"Saya yang berada di tepi tebing menjadi panik apabila runtuhan berlaku. Saya lihat tangan Morgan dan cuba menariknya keluar, namun gagal kerana tanah runtuh membawa dia terus ke bawah. Saya bagaimanapun sempat menarik keluar majikan saya," katanya.