Dua pekerja gerai burger maut terkena renjatan elektrik

Aida Aziz
Oktober 15, 2023 08:45 MYT
Dua lelaki maut setelah dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bekerja di sebuah gerai burger di Taman Bercham Raya, di Ipoh, awal pagi tadi.
IPOH: Dua lelaki maut setelah dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bekerja di sebuah gerai burger di Taman Bercham Raya, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 30 dan 14 tahun itu merupakan pekerja gerai berkenaan.
Katanya, anggota dari Balai Polis Tambun menerima maklumat dari orang awam pada jam 1.15 pagi pada Ahad berhubung kejadian tersebut.
"Siasatan awal oleh pihak polis di tempat kejadian mendapati dua orang lelaki berada dalam keadaan tidak sedar diri di tepi gerai burger tersebut.
"Pertalian antara mereka adalah rakan dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
"Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa merupakan pekerja gerai dan mereka dipercaya terkena renjatan elektrik semasa bekerja di gerai burger tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Yahaya berkata, kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke HRPB Ipoh untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
#pekerja gerai burger #maut #renjatan elektrik #Taman Bercham Raya
;