Dua pekerja dikhuatiri lemas kapal muatan pasir terbalik

Rudi Affendi Khalik
Jun 26, 2022 12:10 MYT
Ketika ini gerakan mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan. - Foto JBPM Sarawak
KUCHING: Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas kapal yang dinaiki mereka karam dan terbalik di Batang Igan, berhampiran Kampung Bungan Kecil di sini.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii ketika dihubungi mengesahkan, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 6.05 pagi Ahad.
Pusat Gerakan Operasi kemudian mengatur gerak sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah ke lokasi, dengan kekuatan satu pacuan empat roda dan bot.
Kata Ling Hii, berdasarkan maklumat awal, sekitar jam 4.20 pagi Balai Polis Sungai Merah di Sibu telah menerima maklumat awam yang membuat panggilan terus ke balai, memaklumkan sebuah kapal yang didaftarkan dengan nama Yu Lee tenggelam di Kampung Bungan Kecil.
Ketika kejadian, pelapor yang identitinya dikenal pasti sebagai Aping Sidu telah berjaya menyelamatkan dua daripada empat mangsa, yang merupakan pekerja kapal terbabit, yang membawa muatan pasir.
Dua mangsa lain katanya, gagal ditemui.
Jelas Ling Hii, dua mangsa yang hilang merupakan warga tempatan berketurunan Iban dan seorang warga negara Indonesia.
Kedua-dua lelaki ini berusia sekitar 20-an. Manakala yang terselamat ialah seorang lelaki tempatan berketurunan Cina berusia 50-an dan seorang lelaki Melanau berusia 40-an.
Ketika ini kata Ling Hii, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan.
#Tiong Ling Hii #Kampung Bungan Kecil #lemas #Balai Bomba dan Penyelamat Mukah
;