Dua pegawai TLDM ditahan SPRM atas kes tuntutan palsu

Astro Awani
Januari 8, 2019 10:45 MYT
Kesemua suspek ditahan di SPRM Cawangan Langkawi pada Isnin. - Gambar Hiasan
Tiga individu termasuk dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Langkawi pada Isnin bagi membantu siasatan berkaitan kes tuntutan palsu bagi pembekalan langsir pasang siap bernilai lebih RM60,000.
Menurut sumber, kedua-dua pegawai TLDM yang berusia 50 tahun tersebut masing-masing memegang jawatan sebagai Kapten Kapal dan Komander (Pegawai Pemerintah).
Katanya, selain dua pegawai TLDM berkenaan, turut ditahan ialah seorang pengurus syarikat berusia 54 tahun yang terbabit dalam pembekalan langsir pasang siap tersebut.
Kesemua mereka ditahan di SPRM Cawangan Langkawi antara pukul 2.20 petang hingga pukul 7.30 malam.
Jelanya lagi, siasatan awal mendapati pengurus syarikat tersebut telah bersubahat dengan dua pegawai TLDM dalam mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu berhubung kerja pembekalan langsir pasang siap di TLDM Puncak Lang Langkawi berjumlah lebih RM60,000 sedangkan pembekalan tersebut tidak dibuat sepenuhnya walaupun bayaran penuh telah dibuat oleh TLDM.
Pengarah SPRM Negeri Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.
SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek pagi ini di Mahkamah Majistret Langkawi petang Selasa.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
#SPRM #SPRM Langkawi #TLDM #tuntutan palsu
;