Dua pegawai SPRM ditempatkan di pejabat MB Perak
Abd Razak Mohd Ali
Januari 9, 2020 06:21 MYT
Januari 9, 2020 06:21 MYT
Kerajaan Negeri Perak bersetuju untuk menempatkan semula pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Menteri Besar, yang terhenti ketika peralihan kerajaan dua tahun lalu.
Dalam masa sama, seorang lagi pegawai SPRM akan ditempatkan di Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kakitangan kerajaan tidak perlu bimbang dengan penempatan pegawai-pegawai SPRM itu.
"Ini satu perkara yang dialu-alukan. Jangan bimbang, tujuan perkara ini diadakan bukan untuk mengintai-intai segala setiap tingkah para penjawat awam.
"Tetapi ia lebih untuk kita memperhebatkan lagi perkhidmatan kita kepada rakyat, terutamanya dari segi pencegahan rasuah.
"Kerana kita sedar rasuah ini boleh membinasakan sesebuah kerajaan dan apabila kerajaan itu tidak berfungsi dengan baik, maka rakyat jelata akan menerima bahananya," kata Ahmad Faizal.
Beliau ditemui selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya di pejabatnya di sini pada Khamis.
Menurutnya, unit integriti akan membantu kerajaan menyediakan pelan anti rasuah yang akan dijadikan garis panduan bagaimana untuk menjalankan operasi harian.
Sementara itu, Latheefa berkata, penempatan pegawai SPRM itu akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan dan ia bukan hiasan semata-mata.
Sebaliknya, mereka telah dilatih untuk memberi khidmat nasihat mengenai pencegahan rasuah dan salah guna kuasa.
"Pegawai ini akan beri nasihat, dan juga mendapatkan, bagaimana memproses aduan-aduan yang diterima dan bagaimana kita melihat jika ada kelompangan ataupun yang dikatakan peluang untuk rasuah itu, kita akan membantu untuk macam mana nak selesaikan.
"Jadi, ini adalah satu daripada kerja kempen kita untuk pencegahan. Kempen pencegahan bukan saja terhad kepada penerangan ataupun ceramah, kita harus melihat secara strategi," kata Latheefa.
Menurutnya, cadangan penempatan pegawai SPRM itu mendapat sambutan yang sangat baik daripada kerajaan-kerajaan negeri.
#Ahmad Faizal Azumu
#integriti
#kerajaan
#khidmat nasihat
#Latheefa Koya
#Menteri Besar
#penjawat awam
#Rasuah
#SPRM