Dua pegawai perhutanan Terengganu direman kes rasuah RM20,000

Bernama
April 2, 2018 08:31 MYT
Suspek didakwa meminta dan menerima rasuah daripada pemilik sebuah kilang kayu supaya melepaskan dua anaknya daripada kesalahan memproses kayu haram yang dikeluarkan dari hutan simpan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. - Gambar hiasan
Dua pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu hari ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah RM20,000.
Permohonan reman itu dibenarikan Penolong Kanan Pendaftar Noradila Ab Latif.
Suspek yang berusia 58 dan 59 tahun itu ditahan sejak semalam berikutan aduan melakukan kesalahan tersebut pada 2015.
Mereka didakwa meminta dan menerima rasuah daripada pemilik sebuah kilang kayu supaya melepaskan dua anaknya daripada kesalahan memproses kayu haram yang dikeluarkan dari hutan simpan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
-- BERNAMA
#haram #hutan simpan #Jabatan Perhutanan #kilang kayu #Rasuah #reman #siasatan #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #suspek #terengganu