Dua pegawai pejabat pendidikan direman bantu siasatan kes rasuah

Bernama
Oktober 26, 2024 23:45 MYT
Suspek lelaki dan wanita itu ditahan pada 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri. - Foto hiasan/BERNAMA
KOTA KINABALU: Dua pegawai pejabat pendidikan direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pelantikan pembekal barang penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di sekitar Kudat yang bernilai kira-kira RM600,000.
Perintah itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Dzul Elmy Yunus Mahkamah Majistret di sini.
Menurut sumber, kedua-dua individu berusia 40-an itu dipercayai menerima sejumlah rasuah dari tahun lepas hingga tahun ini dengan wang dimasukkan ke akaun bank milik proksi.
Suspek lelaki dan wanita itu ditahan pada 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
#pegawai pejabat pendidikan #direman #bantu siasatan #kes rasuah #sprm sabah
;