Dua pegawai kanan syarikat swasta didakwa SPRM

Astro Awani
November 6, 2014 12:17 MYT
Dua pegawai tertinggi swasta didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Khamis bagi tuduhan tuntutan palsu - Foto Bernama
Bekas pengurus kewangan di sebuah syarikat penghantaran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM3.8 juta berhubung bayaran duti kastam, 10 tahun lepas.
Marzulhisham Zulkifli, 36, yang sebelum ini bekerja di Syarikat Pelangi Shipping Sdn Bhd, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nordin Nasir.
Marzulhisham didakwa mengemukakan tiga tuntutan palsu berjumlah RM3,093,787.06 terhadap Eksekutif Logistik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Al-Mohafan Mohamed di Tingkat 4, Bahagian Penjanaan TNB, 129 Jalan Bangsar antara 19 Jan hingga 30 Julai 2004.
Tertuduh, yang kini seorang peniaga, didakwa membuat tuntutan itu melalui tiga invois yang mengandungi butiran matan palsu membabitkan tuntutan bayaran duti kastam, sedangkan bayaran duti kastam itu dikecualikan.
Bapa tiga anak itu juga didakwa mengemukakan tuntutan palsu sebanyak RM728,302.68 terhadap Al-Mohafan dalam satu invois untuk tujuan sama, sedangkan bayaran duti kastam itu hanyalah berjumlah RM63,440.99.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusof daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan wang jaminan RM60,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Kamarudin Abdullah, yang mewakili Marzulhisham memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan alasan anak guamnya yang bekerja sendiri, mempunyai pendapatan tidak menentu dan perlu menyara keluarganya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan kes ditetapkan pada 8 Dis ini.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pegawai kanan swasta mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM98,000 untuk tiga kursus yang tidak dianjurkan di Bangi.
Mengikut kesemua pertuduhan, Syed Hamid Khalid Rashid, 40, yang ketika kejadian merupakan Ketua Bahagian Pengurusan Perkhidmatan Petronas ICT Sdn Bhd, didakwa mengemukakan tuntutan itu melalui tiga invois Syarikat K-Pintar Sdn Bhd yang mengandungi butiran matan palsu berhubung tiga kursus yang tidak dianjurkan.
Syed Hamid, yang merupakan ejen kepada Syarikat IPerintis Sdn Bhd didakwa membuat tuntutan itu bagi kursus managing Flow-Team Dynamics yang diadakan di Maybank Academy dan Petronas Leadership Centre, Bangi antara Dis 2012 hingga Sept 2013.
Tertuduh, yang juga pemegang kerakyatan tetap di negara ini, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat IPerintis Sdn Bhd, Tingkat 18, Menara Perak, No. 24 Jalan Perak di sini pada jam 9 pagi hingga 5 petang, antara 31 Dis 2012 hingga 9 Sept 2013.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai butir matan palsu atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan yang turut dikendalikan Afifah menawarkan wang jaminan RM45,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam M Mahendra, yang mewakili Syed Hamid memohon wang jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan sejak 10 bulan lepas.
Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 11 Dis ini untuk sebutan kes.
#Mahkamah Sesyen #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia