Dua pegawai kanan ATM dituduh terima rasuah berkaitan kontrak PRISMA
Fareez Azman
Oktober 28, 2020 14:58 MYT
Oktober 28, 2020 14:58 MYT
SHAH ALAM: Dua pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima suapan bernilai RM25,000 dan RM150,000 berhubung pelantikan syarikat secara rundingan terus, berkaitan Perkhidmatan Sengaraan dan Khidmat Sokongan Sistem Peperangan Elektronik (PRISMA).
Kedua tertuduh, Kolonel Che Ahmad Idris, 54, dan Brigadier Jeneral Mohamed Feizol Anuar Ayob, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.
Mengikut pertuduhan, Che Ahmad yang juga Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan (Kementah) didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah 4,500 Pound Sterling bersamaan RM25,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sendirian Berhad, Elias Jemadi Tajudin.
Suapan itu didorong sebagai upah melantik syarikat terbabit secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan untuk BSPP.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Komplek Induk Stride, Taman Bukit Mewah Fasa 9, Kajang pada 22 November 2019 dibawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Tertuduh kedua, Mohammed Feizol Anuar yang merupakan penasihat ketenteraan menteri pertahanan semasa kejadian didakwa atas dua pertuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM150,000 daripada individu sama.
Ia sebagai dorongan bagi membantu menyerahkan Surat Niat untuk menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan untuk BSPP bertarikh 5 September 2018 dari Syarikat FEHM Entity kepada Menteri Pertahanan.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di sebuah kafe di Setia Alam, Shah Alam pada September tahun 2019 mengikut Seksyen 16 (a) (B) akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Nurdihana Rosdi menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada Che Ahmad manakala Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada Mohammed Feizol Anuar bagi kedua-dua pertuduhan.
Selain itu, mereka juga memohon mahkamah mengguna pakai syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Che Ahmad diwakil Peguam Gooi Soon Seng manakala Mohammed Feizol Anuar diwakili Peguam Asmadi Hussin.
Mahkamah membenarkan Che Ahmad dibebaskan dengan jaminan RM 15,000 dan Mohamed Feizol Anuar dengan jaminan RM 10,000 bagi kedua dua pertuduhan, masing-masing dengan seorang penjamin.
30 November depan ditetapkan bagi tarikh sebutan semula kes.
#Angkatan Tentera Malaysia
#Kuala Lumpur
#SPRM
#shah alam
#Mahkamah Sesyen Shah Alam
#Rasuah
#Kajang
#Projek rundingan terus