Dua PATI ditahan miliki senapang guli buatan sendiri
Petrus Bernard
September 4, 2022 11:30 MYT
September 4, 2022 11:30 MYT
TAWAU: Dua warga asing ditahan kerana memiliki selaras senapang guli buatan sendiri dalam satu serbuan di sebuah rumah di ladang Binuang Benta Wawasan Kalabakan, pada Sabtu.
Kedua-dua suspek lelaki, masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an, ditahan sepasukan polis dari Balai Kalabakan dengan bantuan anggota keselamatan Benta Wawasan Sdn Bhd pada kira-kira jam 2 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah didiami suspek menemui satu laras senapang guli disembunyikan di dalamnya.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua suspek turut gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Suspek seterusnya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama barang rampasan untuk tindakan dan siasatan lanjut."
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.