Dua parah, dua cedera ambulans terbabas dalam parit

Aida Aziz
Julai 9, 2024 10:00 MYT
Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan ambulance terbabas di dalam parit dan terdapat empat orang mangsa. - Foto JBPM Perak
KAMUNTING: Dua lelaki parah manakala seorang wanita cedera setelah ambulans yang dinaiki mereka terbabas dalam parit di jalan tol Kamunting, dekat Taman Berkat, di sini awal pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad seorang lagi mangsa lelaki berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 pagi.
Justeru itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dikejarkan ke lokasi.
"Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan ambulance terbabas di dalam parit dan terdapat empat orang mangsa.
"Seorang mangsa lelaki telah dikeluarkan oleh orang awam dan tiga orang mangsa dikeluarkan oleh pihak bomba.
"Ambulans itu dari Parit Buntar dan dalam perjalanan balik dari Hospital Taiping," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Taiping dengan menaiki EMRS dan kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang dianggotai seramai lapan orang anggota itu tamat jam 4.20 pagi.
#Nahas #Ambulans #Hospital Taiping #EMRS
;