Dua parah, 15 cedera ringan kemalangan bas kilang dengan treler

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 12, 2022 23:28 MYT
Dua parah, manakala 15 penumpang cedera ringan selepas bas kilang yang membawa 21 pekerja kilang bertembung dengan sebuah lori treler. - Foto Astro AWANI
BUTTERWORTH: Dua parah, manakala 15 penumpang cedera ringan selepas bas kilang yang membawa 21 pekerja kilang bertembung dengan sebuah lori treler dalam kejadian kemalangan di Jalan Perusahaan dekat Perai, Pulau Pinang.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.20 malam tadi sewaktu bas kilang yang membawa 21 penumpang bas tersebut dalam perjalanan untuk menghantar pekerja terbabit pulang dari tempat kerja.
Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd Fakharurazi Md Rejab, dua yang parah adalah pemandu treler dan juga pemandu bas kilang berkenaan.
Beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.21 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba, anggota bomba mendapati penumpang bas kilang berkenaan bergelimpangan di atas jalan raya.
Pemeriksaan mendapati pemandu bas dan pemandu lori treller berkenaan parah akibat tersepit manakala 15 penumpang bas kilang cedera ringan.
“Sebaik tiba, kami dapati mangsa bergelimpangan di atas jalan raya, bas sudah terbalik, ada di antara mereka berjaya keluar dari bas dan mengalami kecederaan.
“Pada masa yang sama, kedua-dua pemandu berada dalam keadaan tersepit dan kami terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mereka," katanya.
Mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Seberang Jaya (HJS) untuk rawatan lanjut.
Mohd Fakharurazi berkata, anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi bagi memastikan tidak ada bahaya lain timbul terhadap pengguna jalan raya dekat situ.
Akibat kemalangan itu juga, polis terpaksa menutup jalan buat sementara waktu iaitu sehingga kerja-kerja mengalihkan kedua-dua kenderaan itu selesai dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
#bas kilang #treler #kemalangan #Jalan Perusahaan Perai
;