Dua pam kuasa tinggi atasi limpahan air di Taman Seri Muda

Sinar Harian
November 18, 2021 08:12 MYT
Izham menekan suis pam berkuasa tinggi atau juga dikenali sebagai 'submersible pump' ketika membuat lawatan ke pintu air Taman Seri Muda, Shah Alam pada Rabu. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Dua pam berkuasa tinggi bernilai RM700,000 ditambah di pintu air Taman Seri Muda di sini bagi mengatasi isu limpahan air yang sering berlaku di kawasan berdekatan.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, dua pam tersebut bagi menambah kekuatan pam sedia ada.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan bagaimanapun bersifat sementara sebelum pelaksanaan projek bernilai RM10 juta disiapkan di kawasan itu bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah limpahan air.
"Projek bernilai RM10 juta itu melibatkan pembesaran kawasan kolam ini dan penggunaan pam lebih besar secara kekal. Kerja pembinaan juga sudah bermula dan dijangka siap pada awal tahun 2023," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa membuat lawatan ke pintu air Taman Seri Muda di sini bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau pada Rabu.
Sebelum ini, kawasan Seri Muda sering berdepan isu banjir kilat setiap kali taburan hujan tinggi sehingga menyebabkan ada penduduk perlu ditempatkan sementara ke pusat pemindahan.
*Berita asal di Sinar Harian
#pusat pemindahan #izham hashim #pintu air Taman Seri Muda #limpahan air
;