Dua OKU penglihatan bakal cipta rekod berkayak 20 km Sungai Perak

Amirrul Rabbani
Oktober 17, 2021 16:15 MYT
Ahmad Saidi Mohamad Daud (tengah) bergambar bersama dua belia OKU cacat penglihatan Muhamad Shahrizal Ismail dan Khairruddin Mazli. - Gambar BERNAMA
KAMPAR: Kekurangan dalam diri tidak menghalang dua belia yang cacat penglihatan untuk memahat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai orang kurang upaya (OKU) pertama menyertai ekspedisi kayak di Sungai Perak bulan depan.
Khairruddin Mazli, 30, dan Muhamad Shahrizal Ismail, 24, dijadual melakukan dayungan kayak sejauh 20 kilometer (km) di Sungai Perak iaitu bermula di Kem Rekreasi Intan Suraya dekat Sungai Siput dan berakhir di Jambatan Victoria di Kuala Kangsar pada 5 November ini.
Kedua-dua mereka menyertai Misi Dayungan Duo Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) OKU bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurut Khairruddin, dia mula meminati sukan lasak berkenaan pada tahun ini apabila mendapat tawaran untuk acara tersebut semasa menyertai kursus refleksologi TVET OK di IGB Training and Consultancy di bawah kelolaan Pusat Aspirasi Anak Perak (pasak) beberapa bulan lalu.
Sebelum ini juga, Khairruddin pernah menyertai pasukan bola sepak paralimpik negara.
Namun begitu, akibat terlalu banyak kekangan ketika menyertai pasukan bola sepak, dia memilih untuk tidak meneruskannya.
Sehinggalah menerima tawaran berkayak menyebabkan Khairruddin terbuka hati untuk menyertainya.
“Alhamdulillah memang saya berminat untuk berkayak… mula-mula macam susah sikit tapi bila sudah biasa dan tahu pegang pedal, jadi mudah,” kata Khairruddin yang mengalami cacat penglihatan ketika berusia 17 tahun.
Bagi Muhamad Shahrizal atau mesra disapa Along pula, dia turut berkongsi minat yang sama selain menzahirkan harapan agar OKU di luar sana terus bermotivasi dan tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk maju dalam kehidupan.
Dia yang cacat penglihatan sejak lahir berpendapat, misi dayungan ini sebagai platform membuktikan kemampuan diri supaya dapat dijadikan contoh kepada OKU lain.
Sebelum ini, anak sulung daripada tujuh beradik itu tidak pernah menyertai mana-mana aktiviti sukan dan hanya aktif dalam perniagaan menjual kuih loyang dan membuka pusat refleksologi sendiri di Batu Kurau.
Kedua-dua mereka ditemui pemberita selepas sidang media dayungan duo TVET OKU penglihatan di Kompleks Rakan Muda Kampar di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri berharap usaha kedua-dua peserta ini akan membuka mata banyak pihak dan menjadi langkah permulaan dalam usaha memartabatkan golongan OKU seiring dengan pembangunan negeri.
Sehubungan itu, misi Khairruddin dan Muhamad Shahrizal, jelas beliau, ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri dengan fasiliti latihan seperti gimnasium, kayak dan peralatan latihan disediakan Jabatan Belia dan Sukan di Kompleks Rakan Muda Kampar.
Beliau berkata, keberkesanan misi itu kelak akan dijadikan kayu ukur terhadap pelaksanaan program pembangunan bagi golongan TVET OKU di negeri ini.
Ahmad Saidi berkata, misi dayungan duo TVET OKU bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Perak turut mendapat kerjasama daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed.
#dua OKU penglihatan #cipta rekod #berkayak 20 km #sungai perak
;