Dua OKT warga Indonesia larikan diri dalam perjalanan ke penjara
Muhammad Aiman Hakeem
April 11, 2023 23:21 MYT
April 11, 2023 23:21 MYT
KULAI: Polis sedang giat memburu dua Orang Kena Tahan (OKT) warganegara Indonesia yang meloloskan diri ketika dalam tahanan semasa perjalanan pulang dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang di Tangkak, pada Selasa.
Menurut polis, kedua-dua suspek dikenali sebagai Haji Samirudin, 36 dan Riki Rinaldi, 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, dua individu itu melarikan diri dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang iaitu berhampiran Jambatan Kerata Api di sini, sekitar jam 11.20 pagi tadi.
Katanya pada jam 8 pagi tadi, empat OKT warganegara Indonesia telah dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi dan telah dituduh di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 dan dikenakan hukuman penjara enam bulan.
"Kesemua OKT ini ditangkap oleh Maritim Malaysia atas kesalahan tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah untuk memasuki negara.
"Lebih kurang jam 11.20 pagi, tiga anggota Maritim telah ditugas membawa empat OKT terbabit dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan.
"Semasa dalam perjalanan, dua OKT berusia 36 dan 40 tahun berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van, kemudian melarikan diri masuk ke dalam kebun kelapa sawit berhampiran jalan raya di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Menurut Beng Yeow, unit pengesan anjing K9 Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor sedang membantu mengesan kedua suspek di tempat kejadian.
"Op Tutup telah dijalankan dan pasukan anggota Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah Kulai digerak bagi mengesan dan menangkap kedua suspek.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan. Pihak polis meminta kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek untuk menghubungi bilik gerakan daerah Kulai di talian 07- 6637222," katanya.
Sebelum ini, tular video pendek berdurasi 26 saat memaparkan beberapa anggota polis berada di tepi Jalan Sengkang dalam usaha mencari dua suspek.