Dua NGO buat laporan polis dakwa Sanjeevan hina Raja-raja Melayu

Astro Awani
April 24, 2021 04:41 MYT
Sanjeevan merupakan Ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan dan Pengerusi PKN Parlimen Rasah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Sanjeevan Ramakrishnan atas dakwaan menggunakan gelaran kebesaran dari Istana Pahang walaupun ada bukti panggilan tersebut telah ditarik balik.
Satu laporan dibuat oleh KRAMAT di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini manakala satu lagi dibuat Gabungan NGO Lembah Klang di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Ketua Aktivis KRAMAT, Hamdan Mohd Salleh berkata, pihaknya berbuat demikian atas dasar mempertahankan institusi Raja-raja Melayu dari terus dipermainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab.
"Kami minta polis siasat kerana merasakan tindakan Sanjeevan ini sebagai tidak jujur dan sebagai suatu penghinaan kepada institusi Raja-raja Melayu.
"Ini penting bagi mendapatkan kepastian kerana ia boleh menjadi cubaan mengelirukan semua pihak dengan menggunakan gelaran Datuk Seri walaupun secara terang dan jelas ia telah ditarik balik," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pihaknya turut melampirkan bukti untuk disiasat oleh polis
Sanjeevan merupakan Ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan dan Pengerusi Penggerak Komuniti Nasional (PKN) Parlimen Rasah.
Terdahulu, sebuah lagi NGO, Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (PEMBAKTI) juga membuat laporan polis terhadap Sanjeevan atas dakwaan terus menggunakan gelaran Datuk walaupun ditarik balik oleh kerajaan Pahang.
Pengerusi PEMBAKTI, Mohd Zulkifli Abdul Fatah turut mempersoalkan bagaimana individu seperti Sanjeevan yang pernah membayar denda RM7,000, hilang kelayakan bertanding pilihan raya, masih memegang jawatan dalam parti politik dan NGO.
Sementara itu, Ketua Gabungan NGO Lembah Klang, Faizan Mohd Nor pula berkata, perkara itu serius kerana melibatkan nama baik pihak istana dan gelaran yang dikurniakan oleh Sultan-sultan Melayu.
Ia bukan sesuatu yang boleh dipermainkan, katanya, sambil menambah, pihaknya mahu polis menyiasat jika benar Sanjeevan menggunakan gelaran dari Istana Pahang yang telah ditarik balik.
"Kami khuatir gelaran kebesaran oleh Istana Pahang disalah guna untuk kepentingan peribadi.
"Polis boleh mengambil tindakan tegas jika benar ia dilakukan agar mana-mana pihak yang berniat menggunakan gelaran Datuk atau Datuk Seri secara palsu dan salah seperti ini tidak berani melakukannya," jelas Faizan.
Tambah beliau lagi, semua NGO Melayu sangat terkesan dengan tindakan mana-mana pemimpin yang cuba menunjukkan kebaikan palsu kepada umum dengan cara menggunakan darjah kebesaran pihak istana.
#NGO #politik #polis #Parlimen #palsu #kebaikan palsu #gelaran #laporan polis #Gabungan NGO Lembah Klang #KRAMAT #IPD Dang Wangi #IPD Cheras #Raja-raja Melayu #Datuk #Datuk Seri #tarik balik #Kerajaan negeri Pahang #PEMBAKTI #hilang kelayakan bertanding #Sultan #Siasat
;